Rabu, 9 Ogos 2017 | 7:34pm
SEORANG bapa akan didakwa di Mahkamah Jenayah Seksual terhadap kanak-kanak, atas 631 pertuduhan termasuk meliwat dan merogol anak perempuannya, dua tahun lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

3 jam tak cukup

PUTRAJAYA: Tiga jam tidak memadai bagi Timbalan Pendakwa Raya menyelesaikan 631 pendakwaan ke atas seorang lelaki yang dituduh merogol, meliwat dan melakukan seksual fizikal ke atas anak kandungnya di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin, memulakan pendakwaan pertama pada jam 2.50 petang yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Pendakwaan berhenti pada pertuduhan ke 182 tepat jam 6.10 petang sebelum Nor Dalina meminta mahkamah menyambung prosiding esok, atas alasan baki pertuduhan belum sempat didaftarkan.

Malah, prosiding yang sepatutnya bermula pada sebelah pagi, terpaksa ditangguhkan ke petang berikutan bilangan pertuduhan yang terlalu banyak.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans itu didakwa atas 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang juga pelajar Tingkatan Tiga di bilik tidur utama rumahnya, di Sungai Way, Petaling Jaya, antara jam 6 pagi 11 Julai hingga jam 1 pagi, 20 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang mempunyai hak pemeliharaan, didakwa melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa sama antara 1 Januari hingga 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a)dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2016, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama, jam 2 petang pada 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan 150 tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan meliwat mangsa mangsa di tempat sama, antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, antara 1 hingga 9 Januari dan setiap hari sepanjang Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai T-shirt kelabu dan berseluar jeans, tidak diwakili peguam.

Pendakwaan bersambung esok.

Berita Harian X