Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:17am
TAYAR lori sawit pecah akibat impak pelanggaran dengan sebuah 4WD di Kilometer 68, Jalan Mukah Selangau, Sarawak, malam tadi. - Foto ihsan IPD Mukah
SEBUAH 4WD remuk selepas melanggar lori sawit dalam nahas yang mengorbankan satu nyawa di Kilometer 68, Jalan Mukah Selangau, Sarawak, malam tadi. - Foto ihsan IPD Mukah

Ajal langgar lori sawit

MUKAH: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah lori di Kilometer 68, Jalan Mukah Selangau, malam tadi.

Ketua Polis Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, berkata pikap jenis Toyota Hilux dinaiki dua lelaki melanggar sebuah lori sawit yang berhenti di tepi jalan dalam kejadian jam 11.30 malam itu.

Katanya, mangsa yang maut adalah penumpang 4WD, Yap Peng Hwa, 50, manakala pemandu, Sii Toh Soon, 33, cedera di tangan dan pinggang.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mukah untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

"4WD berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Selangau ke Mukah, sebelum terlanggar lori yang menunggu giliran memunggah buah sawit ke sebuah ladang di sini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, impak perlanggaran menyebabkan tayar lori yang dilanggar pecah manakala bahagian kiri 4WD berkenaan remuk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X