Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:50am
DATUK Asri Yusoff (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan pingat dan selempang yang dirampas dalam majlis penyampaian anugerah pingat yang disyaki palsu disebuah hotel di Alor Setar semalam yang didalangi seorang lelaki bergelar dirinya seorang datuk pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Jalan Stadium. - Foto Sharul Hafiz Zam
DATUK Asri Yusoff (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan pingat dan selempang yang dirampas dalam majlis penyampaian anugerah pingat yang disyaki palsu disebuah hotel di Alor Setar semalam yang didalangi seorang lelaki bergelar dirinya seorang datuk pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Jalan Stadium. - Foto Sharul Hafiz Zam

'Datuk' penipu

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan seorang lelaki yang mendakwa bergelar 'Datuk', yang mendalangi penipuan dalam penganugerahan pingat palsu dengan mengaitkan nama kerabat Diraja sebuah negeri di utara.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan selepas majlis penganugerahan yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, yang dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk 95 penerima pingat.

Serbuan dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kota Setar kira-kira jam.1.30 tengah hari, semalam.

Hasil serbuan itu, polis merampas 66 pingat dan 65 selempang tertera perkataan Pingat Setia Diraja Negara (PSRN), selain plak, piala cenderahati dan kain rentang majlis penganugerahan pingat terbabit.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata berdasarkan maklumat, semua 95 penerima dikatakan membayar RM5,000 setiap seorang untuk mendapatkan PSRN yang disampaikan pada majlis itu.

"Hasil siasatan mendapati, suspek menggunakan nama Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Malaysia untuk menarik mangsa, dengan mendakwa pingat yang dinugerahkan mempunyai kaitan dengan kerabat Diraja di sebuah negeri.

"Sehingga kini, kita sedang mengumpul maklumat mengenai kegiatan suspek. Kita dimaklumkan sebelum ini suspek pernah cuba menganjurkan majlis sama di sebuah negeri di utara, namun gagal," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Asri berkata, pihaknya sudah melakukan semakan ke atas persatuan disertai suspek dan ia berdaftar, namun tidak mempunyai kuasa untuk menganugerahkan sebarang pingat seperti yang dilakukan.

"PSRN yang diterima itu tidak membawa apa-apa gelaran istimewa, namun penerima anugerah itu kononnya memiliki kelebihan untuk mendapatkan tender kontrak bagi projek kerajaan.

"Kita sedang mengumpul maklumat mengenai kegiatan suspek dan penerima yang menjadi mangsa juga sudah tampil untuk membuat laporan serta diambil keterangan," katanya.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar dengan tujuan menipu.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berita Harian X