Khamis, 10 Ogos 2017 | 12:52pm

2 hari baca 626 pertuduhan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 626 pertuduhan selesai dibacakan terhadap bapa yang didakwa merogol, meliwat dan melakukan seksual fizikal ke atas anak kandungnya dalam prosiding sambungan kes itu di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di sini, hari ini.

Sambungan prosiding yang bermula jam 9.10 pagi itu menyaksikan tertuduh yang juga seorang ejen insurans, mengaku tidak bersalah atas 626 pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki berusia 36 tahun itu didakwa atas 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang juga pelajar tingkatan tiga di bilik tidur utama rumahnya, di Sungai Way, Petaling Jaya, antara jam 6 pagi 11 Julai hingga jam 1 pagi, 20 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang mempunyai hak penjagaan, didakwa melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa sama antara 1 Januari hingga 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama jam 2 petang pada 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan 594 tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan meliwat mangsa mangsa di tempat sama, antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, dari Januari hingga 20 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin, tidak menawarkan jaminan atas alasan ia kesalahan serius dan mangsa adalah anak tertuduh.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Tertuduh tidak diwakili peguam. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September depan.

SEORANG bapa yang didakwa atas 632 pertuduhan termasuk meliwat dan merogol anak perempuannya tiba di Mahkamah Jenayah Seksual terhadap kanak-kanak, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah.    
Berita Harian X