Jumaat, 11 Ogos 2017 | 1:33pm
KEADAAN sebuah dari tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan malam tadi.- Foto ihsan Polis Kelantan

Tak sempat memotong

TANAH MERAH: Dua sahabat maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, di Kilometer 9.7 Jalan Tanah Merah-Pasir Puteh, di Kampung Paloh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.16 malam itu, mangsa yang maut adalah pemandu Toyota Corona, Mohamad Fikri Firdaus Mat Deris, 25 dan penumpang, Shafiq Safwan Mohd Foza, 26.

Dua lagi mangsa, masing-masing pemandu kereta Proton Persona dan Toyota Vios, berusia 31 tahun dan 53 tahun, cedera dan dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM).

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad, berkata ketika kejadian, kereta Toyota Corona dipandu Mohamad Fikri Firdaus dari Tanah Merah menghala ke Pasir Mas.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipercayai dipandu laju itu gagal memotong dan bertembung dengan Proton Persona di laluan bertentangan.

"Toyota Corona itu berpusing dan melanggar pula Toyota Vios. Toyota Vios terbabas ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.

"Pemandu dan penumpang Toyota Corona maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X