Jumaat, 11 Ogos 2017 | 3:00pm
SHAFIQ Safwan Mohd Fozan (kiri) dan Mohd Fikri Firdaus Mat Deris.

'Rupa-rupanya anak saudara'

TANAH MERAH: Mohd Nuzi Jusoh menyertai jemaah masjid berbual mengenai berita kemalangan yang meragut dua nyawa di sini malam tadi, sementara menunggu solat Isyak.

Sebaik tiba di rumah selepas selesai solat, beliau tergamam apabila mendapat tahu seorang daripada mangsa yang maut adalah anak saudaranya, Shafiq Safwan Mohd Fozan, 26.

Mohd Nuzi, 36, berkata apa yang lebih memilukan ialah ibu bapa Allahyarham kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadat haji.

"Kali terakhir kami bertemu ialah minggu lalu dan dia agak pendiam, tak banyak bercakap seperti biasa," katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah (HTM) di sini, hari ini.

Allahyarham yang juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pasir Mas, meninggalkan isteri yang bertugas sebagai jururawat di Pahang dan seorang anak berusia setahun.


MOHD Fikri Firdaus Mat Deris.

Shafiq Safwan dan rakannya yang memandu Toyota Corona dinaiki, Mohd Fikri Firdaus Mat Deris, 25, maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 9.7 Jalan Tanah Merah-Pasir Puteh, di Kampung Paloh, di sini, jam 8.16 malam tadi.

Dua lagi mangsa, masing-masing pemandu Proton Persona dan Toyota Vios, berusia 31 tahun dan 53 tahun, dilaporkan cedera serta dihantar ke HTM.

Sementara itu, rakan Mohamad Fikri Firdaus yang dikenali sebagai Lee, 26, berkata arwah dijadual melangsungkan pertunangan akhir tahun ini.

"Kami kehilangan sahabat yang baik kerana dia kerap membantu rakan yang dalam kesusahan," katanya

Berita Harian X