Sabtu, 12 Ogos 2017 | 12:29pm
ANGGOTA (SPRM) mengiringi seorang EXCO kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Georgetown. - Foto Ramdzan Masiam

Kilang haram: Kerajaan PP mengaku tangguh tindakan

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengakui kerajaan negeri ada mengeluarkan arahan menangguhkan sebarang tindakan ke atas kilang pemprosesan habuk kayu haram yang beroperasi selama 10 tahun di Sungai Lembu, Penanti.

Beliau berkata, arahan itu adalah sebahagian daripada dasar diperkenalkan kerajaan negeri yang menegaskan aktiviti penguatkuasaan perlu ditangguhkan ke atas sebarang struktur atau premis haram yang dibina di mana-mana kawasan di negeri itu sebelum 2008.

Beliau berkata, penahanan EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh juga dibuat berikutan arahan berkenaan.

"Arahan ini sebenarnya untuk memberi laluan kepada pentadbiran kerajaan negeri mengenal pasti tindakan sewajarnya yang boleh dilakukan ke atas kilang pemprosesan habuk kayu haram terbabit.

"Kita mengambil kira pelbagai aspek untuk merobohkan sebarang struktur haram di negeri ini, termasuk sama ada ia memberi kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar atau sebaliknya," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Semalam, Boon Poh bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap operasi sebuah kilang haram di atas tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin, ketika dihubungi mendakwa, operasi kilang haram terbabit menyebabkan beberapa penduduk setempat mengalami penyakit kronik, termasuk kanser akibat terdedah kepada debu kayu yang dibakar di kilang terbabit.

"Perkara ini saya sudah bangkitkan banyak kali sebelum ini, tetapi tiada sebarang tindakan sewajarnya diambil. Sampai bila rakyat di kawasan ini perlu merana disebabkan kilang haram terbabit? Adakah mereka mahu tunggu sampai ada yang maut kerana kilang ini?

""Saya tak kisah apa kerajaan negeri atau penyokong pakatan pembangkang nak labelkan saya kerana saya berjuang untuk penduduk di kawasan ini. Ia tanggungjawab saya sebagai ADUN," katanya.

Berita Harian X