Sabtu, 12 Ogos 2017 | 9:22pm
LOKASI wanita berusia 69 tahun ditemui mati berlumuran di bahagian dapur rumahnya di Jalan Cempaka, Taman Air Bemban, di sini, dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya yang mempunyai masalah mental, pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca

Anak masalah mental dipercayai bunuh ibu

KULAI: Seorang wanita ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di Jalan Cempaka, Taman Air Bemban, di sini, dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya yang mempunyai masalah mental, pagi tadi.

Mayat wanita berusia 69 tahun itu ditemui di bahagian dapur rumahnya oleh anak lelaki bongsunya, kira-kira jam 11 pagi.

Difahamkan, anak lelakinya itu baru pulang dari tempat kerja di Singapura sebelum bergegas membuat laporan polis.

Wanita yang mempunyai tiga anak itu dipercayai cedera di bahagian muka dan leher sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said, mengesahkan kejadian itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan senjata yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Katanya, suspek berusia 30 tahun itu bagaimanapun ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi di sekitar kawasan rumahnya.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa tinggal di rumah itu bersama suaminya yang berusia 70 yang sakit dan tidak boleh berjalan serta dua anak mereka.

"Anak bongsunya bekerja di Singapura manakala yang sulung (suspek) tidak bekerja sejak setahun lalu.

"Kami selalu terdengar keluarga ini bergaduh, dan jiran di sini juga maklum anak sulungnya itu sering mengamuk di rumah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa bersama suaminya pernah menjalankan perniagaan kedai kopi di kawasan perumahan itu namun terpaksa menutup operasi baru-baru ini kerana masalah kesihatan suaminya.

Berita Harian X