Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:59pm
KEKECOHAN yang berlaku ketika program "Nothing To Hide 2.0" anjuran Angkat Muda Bersatu Malaysia (ARMADA) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

'Jangan salahkan UMNO'

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selaku penganjur program Nothing To Hide 2.0 perlu bertanggungjawab terhadap kekecohan yang berlaku pada majlis itu, petang tadi.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan mendakwa UMNO sebagai dalang kekecohan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab, khususnya oleh pihak penganjur.

Menyifatkan program itu bersifat provokatif, beliau berkata, penganjuran itu sendiri dilihat sebagai usaha menimbulkan provokasi terhadap UMNO yang akhirnya memakan diri.

"Jangan cuba lempar tuduhan kepada Pemuda UMNO dan sebagainya seperti yang tersebar luas di media sosial.

"Itu perbuatan tidak bertanggungjawab dan sepatutnya biarlah kejadian itu disiasat dulu. Kita juga boleh kata kekecohan itu dirancang kerana nak timbulkan tuduhan (pada UMNO) dan sebagainya.

"Mereka tahu Nothing To Hide sebelum ini juga timbulkan masalah keselamatan dan ketenteraman, jadi mengapa mesti nak ulang seolah-olah merancang nak timbulkan situasi yang berlaku hari ini," katanya ketika dihubungi BH, malam ini.

Beliau mengulas kekecohan yang berlaku ketika program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, hari ini apabila kerusi dan botol dibaling manakala suar dinyalakan ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab soalan berhubung peristiwa Memali.

Program Nothing To Hide pernah dianjurkan Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) pada 5 Jun 2015, namun dibatalkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pada saat akhir selepas menerima maklumat perancangan dua kumpulan yang dipercayai mahu mencetuskan kekecohan.

Annuar turut membidas PPBM yang gagal menyediakan kawalan keselamatan apabila petugas media, termasuk wanita dicederakan dalam kekecohan itu.

"Saya ada dengar petugas media wanita diserang, ditendang. Jelas kawalan keselematan longgar oleh penganjur.

"Kenapa mesti serang media, sedangkan mereka hanya jalankan tugas, kena pergi ke mana-mana, walaupun penganjuran program itu haram sekali pun. Itu tugas media.

"Dalam hal ini, sama ada program itu betul (kelulusan) atau tak, media tak patut disentuh, diusik sama sekali," katanya.

13159 dibaca
Berita Harian X