Isnin, 14 Ogos 2017 | 2:12pm
TIGA remaja direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam berhubung insiden baling mercun suar dan kerusi pada program "Nothing To Hide 2.0". - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

3 direman bantu siasatan forum kecoh

SHAH ALAM: Tiga lelaki direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan insiden kekecohan forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Majistret di sini, bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 15 (2) (d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana melakukan provokasi dengan niat menyebabkan rusuhan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Pemuda PPBM bertukar kecoh ketika Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab soalan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985.

Keadaan semakin tegang apabila secara tiba-tiba kerusi, kasut dan selipar dibaling ke arah Dr Mahathir.

Forum yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7, di sini, yang bermula pada jam 4.15 petang itu, awalnya berlangsung dengan aman hampir sejam sebelum bertukar ganas.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, suar turut dilempar dan jatuh hampir dengan pentas utama forum berkenaan, sebelum keadaan menjadi huru-hara apabila beberapa objek, termasuk kerusi dilemparkan sehingga hampir terkena Dr Mahathir, selain petugas media yang berada berhampiran.

1248 dibaca
Berita Harian X