Selasa, 15 Ogos 2017 | 9:45pm
KETUA Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.- Foto NSTP

Dibunuh kerana dendam

 

BENTONG: Seorang wanita warga Korea Selatan maut, dipercayai akibat diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di bilik hotelnya di Genting Highlands, di sini, petang semalam.

 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 8.40 pagi tadi.

 

Beliau berkata, dalam kejadian jam 3.25 petang semalam, mangsa yang berusia 92 tahun berada dalam bilik berkenaan bersama seorang pembantu rumah warga tempatan.

 

"Suspek yang disyaki adalah seorang warga Korea Selatan, bertindak memecah masuk bilik mangsa.

 

"Suspek mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan kain dan tali...dan kemudian mengheret mangsa ke tandas dan memukulnya.

 

"Suspek kemudian meninggalkan mangsa di dalam tandas berkenaan dan melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mansor berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan dendam.

 

"Kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan ingin membalas dendam. Suspek dipercayai telah berselisih faham dengan anak sulung mangsa.

 

"Suspek dan anak sulung mangsa terbabit dalam urusan peminjaman duit di Genting Highlands," katanya.

 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X