Rabu, 16 Ogos 2017 | 12:22pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid menyaksikan penyerahan serah terima tugas antara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik (JSJN), Datuk Seri Mokhtar Mohd Shariff (kiri) kepada Timbalan Pengarah Risikan / Operasi (JSJN), Datuk Kang Chez Chiang (kanan) pada majlis Serah dan Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di MES Pegawai Kanan Polis Bukit Aman. Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJN, Datuk Kang Chez Chiang mewakili Pengarah Baharu JSJN Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh yang kini berada di luar negara. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Polis panggil penganjur Nothing To Hide

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil penganjur forum Nothing To Hide 2.0 kerana gagal mematuhi peraturan dalam penganjuran program itu pada Ahad lalu sehingga berlaku kekecohan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Katanya, sebagai penganjur mereka sepatutnya bertanggungjawab di atas keseluruhan aspek keselamatan termasuk lokasi dan peserta yang hadir bagi memastikan kelancaran sepanjang program itu berlangsung.

"Penganjuran program itu tertakluk di bawah APA 2012 dan ia jelas menyatakan bahawa penganjur bertanggungjawab ke atas keselamatan orang yang hadir dan program secara keseluruhan.

"Jadi, jangan ingat mereka boleh lepas tangan. Sepatutnya mereka kena buat peraturan, orang nak masuk apa yang tak boleh bawa.

"Tak elok juga sekiranya mereka cuba salahkan polis kerana tidak menjaga keselamatan. Polis tak kawal keselamatan di dalam (dewan) tapi, kita ada di luar," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Mes Pegawai Bukit Aman, di sini.

Berhubung tangkapan, Khalid berkata, seramai 13 individu sudah ditahan setakat pagi ini kerana menimbulkan kekecohan ketika program berlangsung termasuk membaling suar dan kerusi.

Program Nothing to Hide 2.0 yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam Ahad lalu yang pada mulanya berjalan lancar terpaksa dihentikan selepas kasut, kerusi, suar, selipar dan botol air dibaling ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985.

Susulan itu, tiga individu berusia 17,18 dan 19 tahun ditahan dan direman empat hari bagi membantu siasatan.

Tujuh lagi individu berusia antara 20 dan 30 tahun, ditahan pada Isnin lalu berhubung insiden sama.

873 dibaca
Berita Harian X