Ahad, 20 Ogos 2017 | 3:26pm

Pegawai bomba maut rempuh kren rosak

KUALA LANGAT: Seorang pegawai bomba maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah kren yang rosak di bahu jalan di Jalan Bukit Changgang-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.

Kemalangan berlaku pada jam 7.25 malam ketika Mohd Zulkhairul Harun, 41, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA memandu dari arah KLIA menghala ke Banting.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata mangsa yang berasal dari FELDA Bukit Bading, Ajil, Terengganu cedera parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 malam.

"Kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa remuk di hadapan kiri. Jenazah mangsa sudah diserahkan kepada waris selepas proses bedah siasat dijalankan," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Azizan berkata, polis masih mengesan saksi kejadian dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kemalangan itu menyebabkan tumpahan minyak di jalan raya.

"Tujuh anggota dari BBP Banting dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan bagi membersihkan lokasi kemalangan," katanya.

Berita Harian X