Ahad, 20 Ogos 2017 | 7:28pm
OPERASI bomba mencari mangsa bot karam di Empangan Bekok, dekat Yong Peng, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba.
DUA sahabat karib hilang selepas bot mereka karam di Empangan Bekok, dekat Yong Peng, masih belum ditemui sehingga petang tadi. - Foto Ihsan Bomba

Bot karam, 2 rakan hilang

BATU PAHAT: Dua sahabat karib hilang selepas bot mereka karam ketika sedang memancing di Empangan Bekok, dekat Yong Peng, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, A Tamil Selvam, 19, dan rakannya, R Kaalicharan, 28, hilang selepas bot dinaiki mereka terlanggar ombak sebelum karam di empangan itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata seorang lagi mangsa yang menaiki bot berkenaan, C Dava Rajan, 16, terselamat selepas berenang ke tebing.

Katanya, kesemua mangsa datang ke Empangan Bekok untuk memancing kira-kira jam 10 malam tadi dan memeriksa hasil tangkapan pada jaring yang dipasang kira-kira tiga jam kemudian.

Ketika jaring diangkat ke atas bot, beliau berkata, bot mula tenggelam sedikit, namun semua mangsa meneruskan perjalanan ke tebing empangan.

"Bagaimanapun ketika dalam perjalanan ke empangan bot terlanggar ombak sebelum tiba-tiba karam.

"Seramai 12 anggota dari Balai Bomba Yong Peng dan empat skuad skuba dari Balai Bomba Segamat sudah berada di lokasi sejak 9 pagi bagi operasi menyelamat namun mangsa yang hilang masih belum dijumpai," katanya.

Abdul Wahib berkata, kesemua mangsa ialah sahabat karib yang datang dari Segamat untuk menangkap ikan.

"Bot berkenaan dimiliki mangsa yang masih hilang, R Kaalicharan dan mangsa mempunyai lesen menangkap ikan di empangan berkenaan," katanya.

Berita Harian X