Isnin, 21 Ogos 2017 | 9:45pm
 BANK Negara Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah
BANK Negara Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah

Kerugian BNM, skandal terbesar perbankan dunia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an tidak didedahkan kepada umum kerana bimbang beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Pendedahan itu dibuat bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, ketika membaca keterangan saksi di hadapan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM yang bersidang hari ini.

Dalam keterangannya, Abdul Murad berkata, ketika melakukan lawatan ke Chemical Bank, New York, Amerika Syarikat (AS) pada 1992, beliau diberitahu, kerugian BNM dalam urus niaga mata wang asing pada waktu itu berjumlah lebih kurang AS$170 juta.

Katanya, apabila beliau memaklumkan perkara itu kepada bekas Gabenor BNM, Tan Sri Jaffar Hussein, beliau dimarahi dan diminta untuk berbincang dengan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang ketika itu adalah penasihat BNM.

"Pada awal tahun 1994, saya diarah oleh Gabenor untuk memberi penjelasan mengenai kerugian mata wang asing kepada Anwar, yang ketika itu Menteri Kewangan, ketika kami dalam penerbangan ke Hawaii.

"Saya sudah memberi penerangan kepada Anwar dan beliau menyatakan faham akan masalah kerugian itu dan akan berbincang dengan Gabenor mengenai perkara berkenaan.

"Selepas penerangan itu, Anwar juga memberi komen bahawa sekiranya kerugian sebenar urus niaga mata wang asing BNM didedahkan kepada umum, beliau sebagai Menteri Kewangan perlu meletakkan jawatan," katanya dalam pendengaran di hadapan enam anggota suruhanjaya siasatan itu, yang diketuai Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon dan Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan.

Abdul Murad juga berkata, BNM mungkin menyembunyikan maklumat mengenai kerugian itu dengan memindahkan caj kepada akaun rizab yang lain.

Perkara itu dilakukan dengan niat kerugian sebenar yang dialami tidak diketahui oleh sesiapa yang melihat akaun BNM. 

"Pada pengetahuan saya, kerugian mata wang asing yang dialami BNM pada ketika itu adalah satu skandal terbesar dalam sejarah perbankan dunia. 

"Kedudukan kerajaan yang memerintah juga akan tergugat dengan skandal ini, oleh itu, "penutupan" terpaksa dilakukan untuk menjaga imej BNM dan kerajaan," katanya.

Abdul Murad berkata, urus niaga mata wang asing yang dilakukan pada tahun 1980-an dan 1990-an adalah berbentuk spekulasi yang tidak bersandarkan kepada aset tetapi lebih kepada perjudian.

Pushpanathan: "Kenapa urus niaga mata wang asing itu dikatakan lebih berbentuk perjudian?

Abdul Murad: "Peranan BNM adalah menguruskan aset dan rizab. Namun, jumlah rizab luar BNM adalah lebih kurang AS$20 bilion tetapi urus niaga mata wang asing adalah beratus bilion. Itu bukanlah menguruskan aset tetapi perjudian."

Pendengaran suruhanjaya siasatan itu bersambung Khamis ini. 

Suruhanjaya itu ditubuhkan untuk menyiasat kerugian dialami BNM dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata wang asing pada sekitar 1990-an ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Ia juga bagi melihat dan sejauh mana tindakan menyembunyikan maklumat kerugian serta mengkaji jika ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya kepada Parlimen.

 

Berita Harian X