Selasa, 22 Ogos 2017 | 11:56am
Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan kenderaan yang terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan lalu dan terbakar menyebabkan seorang lelaki rentung manakala seorang lagi cedera parah di Jalan Baru, berhampiran perumahan Semporna Centre, di Semporna. - Foto Ihsan Bomba Semporna

Lelaki rentung kereta terbakar

SEMPORNA: Seorang lelaki rentung manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbakar di Jalan Baru, berhampiran perumahan Semporna Center dekat sini, awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang belum dikenal pasti bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari arah pekan Semporna.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.


Seorang lelaki rentung manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbakar di Jalan Baru, berhampiran perumahan Semporna Cente di Semporna. - Foto Ihsan Bomba Semporna

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Izham Borhan, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.15 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebuah kenderaan telah terbakar. Kerja memadam api kemudian dijalankan sebelum menemui mayat mangsa yang rentung di kerusi pemandu," katanya.

Fazizul berkata, mangsa yang cedera parah, Muhammad Basran Tuara,16, dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut sebelum operasi tamat pada jam 4.10 pagi.

Berita Harian X