Selasa, 22 Ogos 2017 | 12:07pm
LIM Tang Seong, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 25 pertuduhan berasingan memegang pasport pekerja warga asing tanpa kebenaran pada bulan lalu. - Foto Ramdzan Masiam
LIM Tang Seong, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 25 pertuduhan berasingan memegang pasport pekerja warga asing tanpa kebenaran pada bulan lalu. - Foto Ramdzan Masiam

Pengarah syarikat pegang pasport pekerja asing didakwa

BUTTERWORTH: Seorang pengarah sebuah syarikat ejen perkapalan didakwa di Mahkamah Sesyen atas 25 pertuduhan berasingan memegang pasport pekerja warga asing tanpa kebenaran pada bulan lalu.

Lim Tang Seong, 64, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noorhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, Tang Seong didakwa memiliki 25 pasport warga asing iaitu 24 Indonesia dan seorang Taiwan tanpa kebenaran yang sah di perkarangan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2, Batu Uban, jam 2 petang pada 27 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Imigresen, Zaili Nizam Mohamad, sementara tertuduh diwakili, K Thangeswaran.

Terdahulu, Zaili Nizam memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 ke atas 25 pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Thangeswaran memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berkenaan memandangkan anak guamnya adalah pengarah syarikat ejen perkapalan yang berdaftar, selain mendakwa tindakan menyimpan pasport berkenaan adalah bagi mengelakkan dokumen itu hilang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi semua pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin, sebelum menetapkan 21 September ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X