Rabu, 23 Ogos 2017 | 5:20pm

Wanita baru habis pantang ditahan positif dadah

ALOR SETAR: Seorang wanita yang baru habis pantang ditahan kerana positif dadah jenis morfin oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya di Kampung Naga Lilit, Kulim di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Penguat Kuasa AADK Kedah, Mohamad Zaki Farkhi Ahmad, berkata wanita berusia 23 tahun itu yang mempunyai tiga anak perempuan termasuk bayi berusia 45 hari ditahan ketika baru bangun tidur, jam 7.15 pagi.

Katanya, pihaknya juga menahan suami wanita itu yang berusia 32 yang positif dadah jenis syabu dan morfin sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Ketika serbuan, kedua-dua suspek bersama dua anaknya yang berusia dua tahun dan 45 hari manakala anak sulungnya yang berusia empat tahun dijaga adiknya.

"Wanita itu adalah antara penagih dadah yang ditahan dalam operasi hari terakhir Ops Perdana hari ini dan sepanjang tiga hari ini, kita berjaya menahan seramai 163 penagih mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983.," katanya pada sidang media di pejabat AADK Kubang Pasu di sini hari ini.

Mohamad Zaki, berkata operasi ini akan diteruskan secara berkala hingga Disember depan untuk menangani masalah penagihan dadah.

"Kita berusaha memastikan masalah penagihan dadah dapat ditangani secara serius sekali gus membantu golongan terbabit kembali pulih," katanya.

830 dibaca
Berita Harian X