Khamis, 24 Ogos 2017 | 4:35pm
PEGAWAI SPRM membawa lapan kakitangan Jabatan Oftalmologi Hospital Queen Elizabeth ke mahkamah atas tuduhan membuat tuntutan palsu lebih masa berjumlah RM126,757 di Mahkamah Sesyen, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

8 penolong pegawai QEH dituduh palsu tuntutan

KOTA KINABALU: Lapan penolong pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (QEH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini terhadap 57 pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu kerja lebih masa.

Mereka dituduh mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM126,757.24 antara Februari hingga Jun tahun lalu, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sebanyak 19 daripada pertuduhan itu mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang membabitkan dua tertuduh kerana bersubahat dengan membantu rakan mereka mengemukakan dokumen tuntutan palsu kerja lebih masa berjumlah RM54,347.54 bagi tempoh sama.

Semua tertuduh yang bertugas di Klinik Mata, QEH didakwa atas tuntutan palsu kerja lebih masa bagi Januari hingga Mei 2016 dengan kesalahan dilakukan di Pejabat Akauntan Negara, Sabah dan Pejabat Klinik Mata, QEH antara Februari hingga Jun tahun sama.

Seorang tertuduh, Naza Fadirul Mick Ab Satar, 33, berdepan 20 pertuduhan, iaitu lima mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM22,216.61 dan 15 pertuduhan lagi mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dengan tuntutan RM43,685.65.

Turut berdepan dua seksyen pertuduhan ialah Mohd Akmal Mohd Hafiz, 26, iaitu lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan tuntutan palsu RM12,842.26 dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dengan tuntutan RM10,661.89.

Lima tertuduh iaitu Mohd Rosidi Mohd Saidi, 38; Terence Linchos, 38; Jaduin Untop, 30; Zulkifli Arun, 28, dan Noor Salim Mohd Zin, 27, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan tuntutan palsu kerja lebih masa antara RM13,466.89 hingga RM19,992.63.

Noor Salim turut ditawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen ketika mengemukakan tuntutan kerja lebih masa bagi Januari hingga Mei tahun lalu.

Satu-satunya tertuduh wanita dalam kes itu, Juraineh Musalim, 27, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu kerja lebih masa berjumlah RM8,647.40 iaitu bagi Mac hingga Mei 2016.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan deposit antara RM8,000 hingga RM15,000 dan seorang penjamin tempatan, manakala sebutan semula dijadualkan pada 30 Oktober depan.

Abu Bakar turut memerintahkan semua tertuduh melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut bersetuju untuk mengadakan perbicaraan serentak bagi semua tertuduh kecuali Naza.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abd Hadi dan Rustam Sanip serta Penolong Pesuruhjaya Awang Samsul Baharam Bungso, manakala semua tertuduh diwakili peguam Dominic Chew dan Hairul V Othman.

Berita Harian X