Jumaat, 25 Ogos 2017 | 5:35pm
ABDUL Kadir Abu Hashim
ABDUL Kadir Abu Hashim

Anak gajah mati dilanggar: PERHILITAN buat pemantauan berkala

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan mengadakan pemantauan berkala di lokasi anak gajah mati dilanggar bas di Kilometer 60, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata pihaknya juga menasihatkan pengguna JRTB supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan khususnya pada waktu malam dan ketika jarak penglihatan terhad.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia langkah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya selain memastikan populasi gajah di habitat berkenaan, terpelihara.

"Unit Tangkapan Gajah dan kakitangan PERHILITAN Gerik yang ke lokasi nahas, menemui bangkai anak gajah jantan berumur sekitar tiga tahun di bahu jalan.

"Ada kecederaan di kepala anak gajah itu dan menurut keterangan pemandu bas persirana berkenaan, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 pagi.

"Keadaan persekitaran yang gelap dan berkabus pada waktu itu menyebabkan jarak penglihatan terhad. Pemandu bas tidak dapat melihat gajah itu dengan jelas, namun semua penumpang bas selamat," katanya.

Katanya, PERHILITAN sentiasa komited untuk menyelesaikan konflik manusia dan hidupan liar bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat serta kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan alam semula jadi.

"Hidupan liar seperti gajah ialah khazanah negara yang menjadi kebanggaan negara. Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab untuk melindungi khazanah yang tidak ternilai itu," katanya.

Berita Harian X