Isnin, 28 Ogos 2017 | 1:04pm
ANGGOTA SPRM mengiringi kakitangan awam terdiri dari dua lelaki dan seorang wanita yang akan didakwa atas kesalahan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kuantan. - Foto Zulkepli Osman

3 penjawat awam dituduh buat tuntutan palsu

KUANTAN: Seorang penolong jurutera di Pejabat Tanah dan Daerah Rompin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berhubung kerja pembinaan surau berjumlah RM65,340, Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Azly Kamrudin, 31, dari Kampung Feri Pontian, Kuala Rompin, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Beliau dituduh menandatangani dokumen perakuan pengesahan kerja yang sudah disiapkan iaitu sebuah surau di perumahan Pontian Jaya berjumlah RM65,340.

Lelaki itu didakwa mengetahui dokumen itu mempunyai butiran palsu dan pembinaan surau itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah dan Tanah Rompin pada 20 Disember 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Sesyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sebelum Habibah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua kakitangan Jabatan Penerangan Pahang mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat tuntutan palsu berhubung pembekalan makanan dan minuman pada Program Penghayatan 1Malaysia di Cameron Highlands tiga tahun lalu.

Tertuduh, Samsuri [email protected], 41 dan Zuraini Uda, 35, yang masing-masing menjawat jawatan Penolong Pegawai Penerangan dan Pembantu Penerangan melakukan kesalahan itu pada Ogos dan November 2014.

Mereka dituduh menggunakan invois bertarikh di antara 11 Ogos hingga 7 November 2014 berjumlah RM1,950 bagi pembekalan makanan dan minuman pada program berkenaan, yang mana dalam pengetahuan mereka pembekalan itu tidak dilaksanakan.

Mereka melakukan kesalahan itu mengikut Sesyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mohd Fadhly menawarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan sebelum Habibah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM6,000 setiap seorang.

Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada ketiga-tiga tertuduh melantik peguam.

Berita Harian X