Isnin, 28 Ogos 2017 | 3:50pm

Deejay kelab malam didenda lagi

KUALA LUMPUR: Seorang deejay kelab malam yang sebelum ini didenda RM1,800 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, sekali lagi didenda RM2,500 atas kesalahan sama oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman ke atas Ooi Kok Wei, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta BMW di bawah pengaruh alkohol iaitu 114 miligram (mg) alkohol per 100 mililiter (ml) darah melebihi had dibenarkan iaitu 80mg di Jalan Hang Tuah, pada jam 4.20 pagi, 27 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM6,000 serta boleh dipenjara maksimum 12 bulan, manakala lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan dia kesal dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Trafik Kuala Lumpur, Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman sewajarnya dikenakan berikutan ia kesalahan kali kedua tertuduh.

"Tertuduh sebelum ini didenda RM1,800 atas kesalahan sama pada 6 Mei lalu," katanya.

Pada Mei lalu, Ooi menjadi viral di laman sosial berikutan sebuah klip video berdurasi satu minit 42 saat memaparkan dia mempertikaikan tindakan polis menahannya kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Berita Harian X