Selasa, 29 Ogos 2017 | 5:46pm

Remaja maut, rakan cedera motosikal bertembung kereta

IPOH: Seorang remaja maut, selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta di Jalan Pengkalan Pegoh di sini malam tadi.

Mangsa, Muhammad Azmi Shaiful Amin Mohana, 19, berasal dari Damansara Damai, Sungai Buloh mati di tempat kejadian, manakala rakan yang membonceng cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Sum Chang Keong, berkata dalam kejadian jam 9.30 malam itu, yang mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Station 18 menghala ke Simpang Pulai bertembung dengan Nissan Almera yang datang dari arah bertentangan.

"Nissan Almera yang datang dari arah bertentangan, cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung motosikal ditunggang mangsa. Akibat perlanggaran, mangsa tercampak dari motosikal sebelum terseret ke bahu kanan jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

"Rakannya yang membonceng hanya cedera ringan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Chang Keong berkata, Nissan Almera berkenaan yang hilang kawalan akibat nahas itu turut melanggar sebuah Proton Satria yang diletakkan di tepi jalan.

Katanya, pemandu Almera dan Satria itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Berita Harian X