Rabu, 30 Ogos 2017 | 4:23pm

Pesara guru didakwa sokong Daesh

KUALA LUMPUR: Seorang pesara guru didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daesh melalui akaun Facebook miliknya, awal bulan ini.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Abu Hasan Chan Abdullah, 63, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Abu Hasan Chan didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas itu dengan menggunakan aplikasi akaun Facebook miliknya atas nama Abu Hasan Chan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8, Counter Terrorism, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, di sini, pada jam 10 pagi, 1 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau denda.

Selain itu, barangan atau harta yang telah digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu juga boleh dirampas.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item itu.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariyati Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan kes.

Berita Harian X