Ahad, 3 September 2017 | 12:22am
KEADAAN motosikal yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Idaman, Selayang, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Polis maut motosikal dirempuh

GOMBAK: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Idaman, Selayang, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata mangsa, Lans Koperal Freddie Delvis Anak Digat, 27, bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Selayang.

"Ketika kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang baru sahaja selesai syif bertugas sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersendirian.

"Mangsa dikatakan membelok ke arah kanan, kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah hadapan merempuh mangsa.

"Mangsa mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu Myvi, wanita berusia 43 tahun turut mengalami kecederaan," katanya melalui satu kenyataan.

Ali berkata, mayat mendiang akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kota Samarahan, Sarawak untuk dikebumikan.

"Kes ini kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X