Isnin, 4 September 2017 | 8:26pm
"MOLOTOV cocktail" yang masih terdapat di lokasi kejadian berlakunya serangan di sebuah pusat hiburan DK, PJU 5 Kota Damansara. - Foto Osman Adnan
"MOLOTOV cocktail" yang masih terdapat di lokasi kejadian berlakunya serangan di sebuah pusat hiburan DK, PJU 5 Kota Damansara. - Foto Osman Adnan
MOLOTOV cocktail yang berada di lokasi kejadian.
MOLOTOV cocktail yang berada di lokasi kejadian.

Warga Bangladesh cedera terkena molotov koktail

PETALING JAYA: Seorang pekerja warga Bangladesh melecur di kepala dan tangan selepas terkena molotov koktail yang dibaling dua individu ke sebuah kelab malam di Kota Damansara di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 petang ketika mangsa yang dikenali sebagai Sujan, 30-an berada sedang mengemas di luar premis berkenaan sebelum dua lelaki dipercayai rakyat tempatan tiba-tiba membaling dua botol berisi petrol dibalut mercun sebelum ia meletup dan mengenai mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek menaiki kereta mewah jenis Audi berwarna hitam dan naik ke premis berkenaan menerusi tangga sebelum melempar bom di hadapan premis berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, suspek membaling dua botol plastik diisi petrol (molotov koktail) yang dililit dengan mercun.

"Bagaimanapun, hanya satu saja meletup dan percikannya mengenai seorang pekerja warga Bangladesh.

"Mangsa yang mengalami kecederaan 20 hingga 30 peratus di tangan dan kepala dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.

Mohd Zani berkata, pihaknya menolak kemungkinan perbuatan dilakukan kumpulan pengganas Daesh sebaliknya, motif dipercayai lebih kepada peras ugut membabitkan perniagaan kerana pemilik dikatakan pernah menerima ugutan sebelum ini.

"Premis ini sudah beroperasi kira-kira setahun. CCTV yang terdapat dalam premis ini berjaya merakam sebahagian kejadian dan nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek dari arah belakang," katanya.

Selain itu, pihaknya juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis berhampiran untuk siasatan lanjut dan mengesan kedua-dua suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 435 kanun sama kerana melakukan khianat dengan api dan peras ugut.

Sementara itu, seorang pekerja premis, Mohd Sharif Alsirip,21, berkata ketika kejadian terdapat lapan pekerja termasuk mangsa sedang melakukan kerja pembersihan sebelum premis mula beroperasi pada jam 4 petang.

"Dia (mangsa) sempat meminta tolong dan seorang rakan (pekerja premis) cuba mengejar suspek tetapi, tidak sempat kerana mereka terus melarikan diri menaiki sebuah kereta sejurus membaling molotov koktail itu," katanya.

Katanya, ia kejadian pertama berlaku sejak berkerja di premis berkenaan sembilan bulan lalu.

Berita Harian X