Selasa, 5 September 2017 | 1:45pm
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai melancarkan Sambutan Minggu Maritim Sedunia Peringkat Kebangsaa 2017, di Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Hafiz Sohaimi

MH370: Pegawai CAAM ke Madagascar

KUALA LUMPUR: Malaysia menghantar pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ke Madagascar bagi mengenal pasti satu serpihan pesawat yang dipercayai milik MH370.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai, berkata langkah itu dibuat sejajar dengan prosedur standard operasi (SOP) dalam mengendalikan pengenalpastian serpihan pesawat berkenaan.

Katanya, mengikut SOP, sebaik serpihan itu disahkan sebagai serpihan milik pesawat, maka serpihan pesawat itu sama ada boleh dihantar ke sini atau Malaysia menghantar pegawai ke sana untuk proses mengenal pasti serpihan terbabit.

"Ya, kita telah dihubungi pihak berkuasa Madagascar memaklumkan mengenai serpihan. Malah, berdasarkan kes ini, kerana seseorang telah dibunuh, daripada serpihan pesawat itu dihantar ke sini, kita menghantar pegawai ke sana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Minggu Maritim Sedunia Peringkat Kebangsaa 2017, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Marin Malaysia, Datuk Baharin Abdul Hamid.

Beliau ditanya pemberita mengenai tindakan kerajaan selepas kematian Konsul Kehormat Malaysia ke Madagascar, Zahid Houseinaly Reza, lewat bulan lalu.

Sabtu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, dalam satu kenyataan berkata, adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab untuk membuat spekulasi mengenai kematian Zahid Houseinaly.

Azharuddin berkata, perkara itu masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Allahyarham Zahid Houseinaly Reza, banyak memberi sumbangan kepada kerajaan Malaysia dalam membantu proses penyerahan serpihan yang dijumpai di Madagascar.

"Ingatan dan doa kami adalah bersama keluarga dan orang tersayang beliau dalam keadaan yang sukar ini." katanya.

Mengulas lanjut, Tiong Lai turut meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan mengaitkan kematian Zahid Houseinaly dengan MH370.

"Jangan membuat spekulasi. Saya tidak fikir kematiannya mempunyai kaitan dengan MH370. Biar polis siasat. Serpihan itu tidak semestinya dibawa oleh beliau, ia boleh dihantar ke sini menggunakan perkhidmatan kurier.

"Terlalu awal untuk kaitkannya dan saya fikir adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab mengaitkan kes pembunuhan ini dengan serpihan pesawat," katanya.

2139 dibaca
Berita Harian X