Selasa, 5 September 2017 | 2:15pm
MIMI Sharmila (tengah) akan membuat pengecaman di Hospital Muadzam Shah, Pahang. - Foto Rosli Ilham

Isteri nelayan buat pengecaman esok

DUNGUN: Ahli keluarga Mohd Zawawi Mohamed, 27, seorang dari lima nelayan yang terbabit dalam kejadian bot karam di Kuala Dungun di sini 2 Ogos lalu, akan membuat pengecaman di Hospital Muadzam Shah, Pahang, pagi esok.

Isteri Mohd Zawawi, Mimi Sharmila Che Husain, 22, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada polis Rompin, Pahang, memaklumkan mengenai penemuan satu mayat lelaki, kira-kira 30 batu nautika dari pantai di Rompin.

"Saya menerima panggilan telefon sehari sebelum Aidiladha memaklumkan penemuan mayat lengkap berpakaian seluar denim dan baju-T berwarna merah.

"Polis meminta saya ke Hospital Muadzam esok untuk membuat pengecaman mayat," katanya ketika dihubungi di rumah ibunya di Kampung Dalam Rhu, Pasir Putih, Kelantan.

Mimi Sharmila berkata, daripada perincian yang dimaklumkan kepadanya, termasuk pakaian pada tubuh mayat ditemui itu, nalurinya merasakan itu bukan suaminya kerana Mohd Zawawi tidak mempunyai baju warna merah.

"Apapun esok saya dan ahli keluarga akan ke sana membuat pengecaman dan kalau diminta membuat ujian DNA (Asid Deoksiribonukleik), saya akan lakukan untuk mendapat kepastian.

"Namun, suami tidak mempunyai baju sebegitu," katanya.

Dalam kejadian 2 Ogos lalu, Mohd Zawawi dan empat rakannya, Che Afandi Che Ismail, 34; Abdul Wahab Zakaria, 44; Mohd Nazri Yaccob, 37 dan Mohd Shahrin Yaccob, 33, terbabit dalam tragedi bot karam selepas bot dinaiki terbalik dipukul ombak dalam perjalanan ke Kuala Dungun, kira-kira jam 10 malam.

Bagaimanapun, Mohd Shahrin berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi, manakala mayat abangnya, Mohd Nazri ditemui dua hari selepas kejadian itu berhampiran lokasi tragedi.

Selain Mohd Zawawi, Che Afandi dan Abdul Wahab masih belum ditemui sehingga hari ini.

Berita Harian X