Rabu, 6 September 2017 | 12:16pm

Didakwa guna dokumen palsu kerajaan

IPOH: Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini berdepan 105 pertuduhan menipu lebih RM6.3 juta, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, kerana menggunakan 10 dokumen palsu kerajaan.

N Narendran, 37, didakwa menggunakan sembilan Pesanan Kerajaan Negeri Perak dan satu dokumen surat tawaran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang diketahuinya adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ganang Resources di No C-2-09, Persiaran Greentown 3, Greentown Business Centre di sini antara 29 April 2015 dan 31 Oktober tahun sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Hakim Norashima Khalid menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap semua tuduhan dan kes disebut semula esok bagi proses penyerahan dokumen serta penetapan tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf manakala tertuduh diwakili peguam Bernard Francis.

Pada 21 November tahun lalu, tertuduh didakwa dengan 105 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan wang berjumlah lebih RM6.3 juta dan dibenarkan jaminan sebanyak RM90,000 dengan seorang penjamin.

N Narendran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas dakwaan menggunakan 10 dokuman palsu kerajaan. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X