Khamis, 7 September 2017 | 1:03pm
ANGGOTA APMM menahan awak-awak nelayan warga asing Vietnam bersama dua buah bot untuk dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pulau Kambing. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

D.Lima 12 dan Delima 29 'menyamar' bot tempatan

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam yang dicat menyerupai bot nelayan tempatan untuk mengabui pihak berkuasa.

Dalam Operasi Perkasa Timur Isnin lalu, 25 awak-awak termasuk dua tekong berusia antara 16 hingga 57 tahun ditahan selepas dikesan menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan, sekitar 100 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Pengarah Daerah Maritim 9 (DM9), Kapten Maritim Rahim Ramli, berkata hasil rampasan terhadap kedua-dua bot yang menggunakan identiti D.LIMA 12 dan Delima 29 itu dianggarkan bernilai RM2.4 juta.

Beliau berkata, dalam tangkapan pertama, pihaknya mengesan sebuah bot menggunakan nama D.LIMA 12 yang sedang menangkap ikan pada kedudukan 103 batu nautika pada jam 8.52 pagi sebelum menahan 21 awak-awak termasuk tekong.

"Kira-kira setengah jam kemudian, pasukan operasi berjaya menahan sebuah lagi bot nelayan asing dengan nama DELIMA 29 yang berada pada kedudukan 103 batu nautika dan menahan empat awak-awak termasuk tekong.

"Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan kemudian membawa kepada rampasan hasil laut dianggarkan seberat 6.3 tan dan 22,000 liter minyak diesel keseluruhan dianggarkan bernilai RM2.4 juta," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Rahim berkata, siasatan mendapati kedua-dua bot terbabit menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Jabatan Perikanan selain tidak mempunyai permit atau lesen sah.

"Selain itu, kita juga mendapati awak-awak yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit sah untuk menangkap ikan di perairan negara," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran dan melanggar peraturan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Berita Harian X