Khamis, 7 September 2017 | 5:33pm
MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman bergambar bersama orang ramai pada Program Seranta dan Diplomasi Awam Bersama Menteri Luar anjuran Befriemder Kota Kinabalu dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto BERNAMA

MH17: Usaha belum berakhir

KOTA KINABALU: Wisma Putra dengan kerjasama pelbagai agensi masih berusaha untuk membawa pihak bertanggungjawab dalam tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai 2014 ke muka pengadilan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata meskipun sudah tiga tahun berlalu, usaha itu belum ditamatkan bagi membawa keadilan kepada 283 penumpang dan 15 kru yang menjadi mangsa tragedi itu serta keluarga mereka.

"Ia adalah satu siasatan yang lama, yang mana Malaysia turut terbabit dalam Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT), selain Belgium, Ukraine, Australia dan Belanda.

"Kementerian Luar bersama pelbagai agensi bekerja tanpa henti melalui pelbagai saluran, termasuk Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk memastikan mangsa MH17 dan keluarga mereka mendapat keadilan.

"Kita percaya ia akan diketahui juga nanti," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Seranta dan Diplomasi Awam Bersama Menteri Luar anjuran Befriemder Kota Kinabalu dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad; Pengerusi Befriender Kota Kinabalu, Datin Seri Siti Rubiah Abdul Samad dan Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamaruddin D Mudin.

Anifah berkata, tragedi MH17 adalah antara tiga cabaran besar diplomatik dihadapi Wisma Putra sejak beberapa tahun lalu, selain kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2014 dan krisis diplomatik Pyongyang-Kuala Lumpur berikutan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Februari lalu.

Katanya, Wisma Putra berdepan dugaan diplomatik yang berbeza dalam ketiga-tiga kes berkenaan dengan krisis diplomatik Pyongyang-Kuala Lumpur disifatkannya sebagai paling mencabar.

"Apabila rakyat kita dan keluarga mereka yang berada di Korea Utara tidak dibenarkan keluar dari negara itu pada 7 Mac lalu, saya sudah jangka proses untuk membebaskan mereka bukan sesuatu yang mudah.

"Saat paling sukar ialah memilih pegawai untuk berunding dengan wakil Korea Utara ketika sesi perundingan kerana kita tidak tahu siapa pihak berkuasa mereka, siapa yang buat keputusan dan sama ada ia boleh berjaya," katanya.

Beliau berkata, situasi itu memerlukan kekuatan mental dan daya tahan yang tinggi, kemahiran diplomasi dan komunikasi terbaik bagi memastikan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari Korea Utara dapat dibawa pulang dengan selamat.

Katanya, kekuatan mental dan daya tahan pegawai diplomatik, termasuk kerana berjauhan dengan keluarga dan berdepan pelbagai halangan di luar negara adalah contoh yang baik kepada pelajar universiti dalam membina ketahanan diri dan keupayaan berkomunikasi.

305 dibaca
Berita Harian X