X
Jumaat, 8 September 2017 | 10:21pm
SALEHA Lahman (dua dari kanan) melihat rumahnya yang rosak dalam kejadian ribut di Mukim Kupang. - Foto Safuri Kamarudin
SALEHA Lahman (dua dari kanan) melihat rumahnya yang rosak dalam kejadian ribut di Mukim Kupang. - Foto Safuri Kamarudin
SALEHA Lahman mendukung bayi berusia 38 hari yang terselamat dalam kejadian ribut di Mukim Kupang. - Foto Safuri Kamarudin
SALEHA Lahman mendukung bayi berusia 38 hari yang terselamat dalam kejadian ribut di Mukim Kupang. - Foto Safuri Kamarudin

Tergamam lihat bumbung rumah diterbangkan ribut

BALING: Seorang wanita yang sedang berpantang akibat bersalin, tergamam apabila bumbung rumahnya di Kampung Tanah Periok, dekat Kupang, di sini, tiba-tiba terangkat dan diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika Norhafizah Said, 25, sedang menyusu bayi lelakinya yang baharu berusia 38 hari, sebelum kediamannya itu tiba-tiba dilanda ribut.

Abangnya, Mohd Hafizul, 33, berkata angin kencang yang membadai kediaman selepas hampir setengah jam hujan lebat melanda, menyebabkan bumbung tempat Norhafizah dan bayinya itu berada bergegar, sebelum diterbangkan angin.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan ketika kejadian, adik saya (Norhafizah) menjerit dan terus berlari ke dapur sambil membawa bayinya itu.

"Saya kemudian segera menenangkan adik kerana dia masih berpantang dan bimbang berlaku perkara buruk," katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, Azhar Othman.

Mohd Hafizul berkata, adiknya masih sugul dan enggan berbual kerana trauma dan terkejut dengan kejadian itu.

Mengulas kejadian itu, katanya angin kencang membadai sepintas lalu menyebabkan bumbung rumah diterbangkan sejauh kira-kira 50 meter dan semua perkakas dan barangan di ruang tamu rumah juga rosak.

"Walaupun bumbung rumah diterbangkan angin dan rosak teruk, saya bersyukur tidak ada kejadian buruk berlaku," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata tinjauan dilakukan mendapati sejumlah 18 kampung dalam mukim Kupang dan dua kampung di mukim Tawar terjejas akibat ribut.

"Setakat ini tidak ada laporan diterima mengenai kemalangan atau kecederaan dan jumlah kerugian belum diketahui. Bantuan segera juga disalurkan kepada mangsa terbabit," katanya.

Berita Harian X