Jumaat, 8 September 2017 | 10:24pm
ABDUL Ghani meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman serta kepala. - Foto Abnor Hamizam
KEADAAN motosikal Abdul Ghani yang dilanggar dalam perjalanan untuk mengimamkan solat Jumaat di Masjid Amar Penghulu di Kilometer 23, Jalan Seremban-Simpang Pertang. - Foto Abnor Hamizam

Imam maut dalam perjalanan ke masjid

KUALA KLAWANG: Seorang imam yang dalam perjalanan untuk mengimamkan solat Jumaat maut dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Seremban-Simpang Pertang, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, Abdul Ghani Dusa, 79, imam Masjid Amar Penghulu di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman serta kepala.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri untuk ke masjid dilanggar sebuah motosikal lain.

"Mangsa dipercayai mahu membelok ke kiri di laluan menuruni bukit itu sebelum dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah belakangnya, menyebabkan dia dan penunggang motosikal terbabit terjatuh.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang sebuah lagi motosikal iaitu orang kelainan upaya (OKU) berusia 47 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X