Ahad, 10 September 2017 | 7:40pm
ANTARA suspek kes dadah yang ditahan dalam serbuan di Kampung Dato Syed Ahmad dan Kampung Baru Sungai Tiang.- Foto ihsan PDRM

Lagak alim tapi masuk sarang dadah

PENDANG: Lagak seorang lelaki berusia 50 tahun yang berkopiah seakan-akan baharu balik dari surau ketika memasuki 'sarang' dadah di sini, awal pagi tadi gagal mengaburi pihak berkuasa.

Lelaki itu ditahan bersama 22 yang lain disyaki penagih dalam serbuan di dua sarang dadah di Kampung Datuk Syed Ahmad dan Kampung Baru Sungai Tiang, di sini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata seramai 25 individu diperiksa dalam Ops Tapis Bersepadu bermula jam 6 pagi hingga 2 petang di kedua-dua lokasi yang disyaki menjadi tumpuan penagih melepaskan gian.

Daripada jumlah itu, katanya 23 orang berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan selepas ujian air kencing dijalankan mengesahkan mereka positif dadah.

"Pihak berkuasa terpaksa masuk ke kawasan itu lebih awal iaitu kira-kira jam 6 pagi untuk melakukan intipan kerana biasanya penagih akan mula masuk ke kawasan itu antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi setiap hari.

"Hasil serbuan, kita turut merampas dadah jenis syabu sebanyak 0.27 gram dan heroin sebanyak 0.46 gram bernilai RM40.

"Dua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, manakala selebihnya mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pendang diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin, turut dibantu anggota Balai Polis Pendang serta lapan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Dalam kes berasingan di Jitra, sekumpulan lapan lelaki Indonesia bersama seorang warga tempatan berusia antara 42 hingga 61 tahun, ditahan selepas terbabit dalam kegiatan judi sabung ayam di kawasan kebun getah di Kampung Batu Gajah di Malau, dekat sini, petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu pihaknya turut merampas 11 ayam jantan dan sembilan batang besi yang siap diasah disyaki taji, serta pelbagai barangan digunakan untuk tujuan perjudian termasuk tiga biji dadu, sebuah mangkuk kaca putih, sehelai kanvas yang dilukis gambar dadu dan wang tunai RM194.

"Anggota kami turut merampas wang tunai lebih RM6,000 yang ada pada badan semua suspek kerana disyaki digunakan untuk pertaruhan judi.

"Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan masing-masing kini direman sehingga esok untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1951 dan Seskyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953.

5908 dibaca
Berita Harian X