Selasa, 12 September 2017 | 6:47pm
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan gambar dua individu yang diminta untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penipuan online di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Kes tipu dalam talian di NS meningkat

SEREMBAN: Kes penipuan jual beli dalam talian di negeri ini, meningkat mendadak berbanding tahun lalu, dengan nilai kerugian dicatatkan sebanyak RM4.32 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata dari Januari hingga Ogos 2016 sebanyak 225 kes direkodkan dengan nilai kerugian sebanyak RM1.77 juta.

Bagi tempoh sama tahun ini pula katanya, sebanyak 540 kes direkodkan iaitu peningkatan kira-kira 50 peratus kes berbanding tahun lalu.

"Kes yang dicatatkan termasuk penipuan pembelian dalam talian, penipuan bungkusan, 'Macau Scam' serta pinjaman tidak wujud.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan harga produk yang murah menerusi laman web terkemuka, sekali gus menyebabkan ramai mudah terpedaya," katanya di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, pihaknya percaya sindiket yang didalangi warga asing dan warga tempatan itu, turut menggunakan akaun pihak ketiga untuk menjalankan urusan, bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, siasatan pihaknya percaya pihak ketiga itu turut menerima komisen untuk setiap urusan niaga yang berjaya.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan mana-mana pemilik akaun yang dipercayai bersubahat boleh dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berharap, orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh terutama dengan barangan yang dijual dengan harga murah, bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Berita Harian X