Rabu, 13 September 2017 | 7:34am
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang maut selepas terjatuh ke dalam sungai berdekatan Masjid Terapung di Tebingan Kuching, tengah malam tadi. - Foto Ihsan Bomba

Maut terjatuh dalam sungai

KUCHING:  Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berdekatan Masjid Terapung di Tebingan Kuching, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu disedari oleh rakan mangsa yang kemudian segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan kejadian itu pada jam 12.35 tengah malam.

Beliau berkata, 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching, termasuk tiga anggota EMRS dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi pada jam 12.39 malam, mayat mangsa sudah ditemui rakannya di tebing sungai berdekatan dengan Masjid Terapung yang masih dalam pembinaan.

"Anggota bomba kemudiannya mengangkat mayat mangsa dari sungai dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mangsa dikenali sebagai Drahman Spawi, berusia lingkungan 35 tahun dan berasal dari Kampung Sungai Bedil, di sini.

771 dibaca
Berita Harian X