Khamis, 14 September 2017 | 11:02am
SEBAHAGIAN ahli keluarga yang berada di kawasan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Keramat, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Netizen sedih, ucap takziah, mahu sistem pembelajaran pusat tahfiz diperkemaskan

KUALA LUMPUR: Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung di sini yang mengorbankan lebih 20 nyawa awal pagi tadi mengundang kesedihan dan simpati masyarakat berbilang kaum dan agama.

Kesedihan dan simpati itu disuarakan menerusi pelbagai platform media sosial. Tidak ketinggalan Facebook Berita Harian Online dihujani dengan ucapan takziah, kata-kata semangat khususnya kepada ahli keluarga mangsa dan pihak pengurusan pusat tahfiz berkenaan.

Selain itu, ada netizen yang memberikan cadangan penambahbaikan sama ada kepada kerajaan, pihak pengurusan pusat tahfiz dan sekolah pondok dalam usaha mengelak perkara sama berulang termasuk mengaitkan tragedi itu dengan insiden kebakaran Madrasah Pondok Pak Ya' di Kampung Padang Lumat, Yan, Kedah pada 1989.

Seorang netizen, Hatta Morsidi yang menyifatkan tragedi amat menyedihkan itu mahu pihak berkaitan mengenal pasti punca bagi mengelak insiden seumpama itu berulang.

"Pihak berkuasa mesti membuat pemeriksaan terhadap premis tahfiz dan sekolah pondok di seluruh negara. Pastikan bangunan ini menepati spesifikasi yang telah ditetapkan. Jangan sesuka hati membina tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa," katanya.

Muhamad Azizan pula mengimbau tragedi kebakaran di Pondok Pak Ya pada 1989 yang mengorbankan 27 nyawa.

"Teringat kisah Pondok Pak Ya di Yan tahun 89 dulu... ramai juga yang terkorban dalam kebakaran... tak silap 27 orang. Inalilahiwainalilahirojiun," katanya.

Komen Anthony Gerard Matthews juga menarik perhatian apabila menyatakan rasa hormat terhadap sikap ditunjukkan umat Islam di negara ini yang tidak menyalahkan masyarakat bukan Islam atau perbuatan khianat dalam tragedi itu.

"Respect pada Muslim Malaysia, tiada pun yang menyalahkan non-Muslim atau perbuatan khianat dalam hal ini. Cuba kalau kuil atau gereja atau tokong yang rosak, habis semua disalahkan pada orang Islam di negara ini," katanya.

Mohd Ashraf Ibrahim mahu pihak berwajib menetapkan prosedur operasi standard (SPOP) dalam pengurusan dan pengendalian asrama di pusat tahfiz.

Katanya, dia yakin kebanyakan kebakaran berpunca daripada litar pintas berikutan terlalu banyak penggunaan penyambungan plug daripada satu sumber plug di dinding.

"Ada wajarnya penghuni pusat serupa ini diberi pendidikan dan pendedahan serta pengetahuan mengenai cara yang betul dan selamat atas penggunaan sumber elektrik. Pengawasan daripada warden dan ketua asrama wajib diberi kursus pengetahuan anjuran pihak berwajib supaya ilmu itu dapat disampaikan kepada warga tahfiz," katanya.

6881 dibaca
Berita Harian X