Khamis, 14 September 2017 | 1:10pm
GURU sekolah tahfiz, Mohd Arif Mawardy. - Foto Nur Afiradina Arshad.

'Bunyi macam ribut'

KUALA LUMPUR: "Saya terjaga bila dengar bunyi macam ribut berlaku di luar bangunan," kata guru tahfiz, Mohd Arif Mawardy, 24.

Selepas melihat ke luar bangunan, katanya, tiada ribut yang berlaku dan dia menyedari bahawa bunyi itu datang dari arah atas bangunan.

Mohd Arif berkata, bunyi berkenaan juga kedengaran seperti bunyi gas.

"Semasa kejadian saya berada di tingkat dua yang menempatkan guru-guru dan selepas tahu bangunan terbakar terus saya kejutkan semua guru untuk selamatkan diri.

"Kami cuba menyelamatkan pelajar tapi kuantiti air yang sikit serta api yang besar tidak mampu untuk memadamkan kebakaran itu," katanya ketika ditemui media hari ini.

Dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, di sini awal pagi tadi, 22 pelajar lelaki dan dua guru maut.

Mangsa yang cedera dan meninggal dunia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mohd Arif berkata, kejadian berlaku di tingkat tiga bangunan, iaitu bahagian dorm pelajar yang menempatkan kiri-kira 40 orang pelajar.

"Semasa saya terjaga, waktu itu kira-kira jam 5.30 pagi," katanya mula mengajar di sekolah terbabit sejak tujuh bulan lalu.

38643 dibaca
Berita Harian X