Khamis, 14 September 2017 | 4:59pm
PESAKIT jantung belubang, Lim jun Chen, tiga bulan bersama bapanya, Lim Ee Hwa, 36 dan ibu, Chan Jing Fen, 36 pada Media Prima-NSTP Dana Kemanusiaan di Gleneagles Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias.

2 budak perlu bantuan bedah jantung berlubang

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dan kanak-kanak perempuan merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan serta rawatan jantung berlubang di Hospital Gleneagles di sini.

Lim Jun Chen, tiga bulan dikesan menghadapi masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) dan memerlukan RM30,000 sebagai kos pembedahan.

Lubang pada bahagian kanan jantungnya dikesan ketika dia berusia enam bulan dalam kandungan.

Bapanya, Lim Ee Hwa, 36, seorang pemandu lori, berkata anak sulungnya itu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) berada dalam keadaan stabil tetapi pembedahan perlu dilakukan segera untuk mengikat saluran darah ke paru-paru.

"Jun Chen perlu menjalani pembedahan mengikat saluran itu terlebih dahulu untuk mengurangkan aliran darah ke paru-paru serta mengelak risiko tumbesarannya terganggu.

"Dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, saya tidak mampu menanggung kos pembedahan," katanya yang ditemui di sini.

Lim Ee dan isterinya, Chan Jing Fen, 30, yang bekerja sebagai pembantu akauntan sambilan berharap anaknya mereka dapat meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain selepas pembedahan dijalankan.

Ee Hwa berkata, selepas pembedahan pertama itu, anaknya akan menjalani satu lagi pembedahan apabila dia berumur antara tujuh hingga 10 tahun nanti.

Sementara itu, Nur Hidayah Sirojuddin, 27, pula berharap Nurin Aura Latisha, 3, dapat segera dibedah kerana anaknya itu selalu letih dan kerap demam berikutan keadaan jantung yang membengkak.

Nurin Aura Latisha Muhd Zulfikli lman, disahkan mempunyai masalah jantung berlubang jenis AVSD (atrioventricular septal defect) ketika berumur lapan dan memerlukan RM60,000 untuk pembedahan segera.

Nur Hidayah berkata, jantung anaknya itu membengkak akibat terdapat lubang yang luas bermula dari ruang atas jantung (upper chamber) hingga ruang bawah (lower chamber).

"Akibat keadaan jantungnya tidak normal, saluran itu tidak dapat berfungsi untuk memisahkan cecair dan oksigen. Dia kerap mengadu sakit," katanya kepada BH.

Masalah jantung Nurin turut memberi kesan terhadap tumbesarannya sehingga saiz badannya lebih kecil berbanding kanak-kanak lain seusianya.

Nurin Aura dijadual menjalani pembedahan esok manakala Jun Chen akan dibedah dalam masa terdekat.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 0327148977.

Berita Harian X