Khamis, 14 September 2017 | 5:01pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (tengah) beramah mesra dengan Skuad Bomba Pondok selepas merasmikan Pelancaran Penubuhan Skuad Bomba Pondok di Sekolah Menengah Agama Irshadiah Addiniah, Batu 26, Bagan Datuk, pada Mei lalu. - Foto fail NSTP/L Manimaran

Skuad Bomba Pondok dipandang remeh

KUALA LUMPUR: Skuad Bomba Pondok yang dilancarkan Mei lalu menerima reaksi negatif daripada sebahagian besar pengurusan sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama.

Ini kerana mereka dipercayai bimbang berdepan tindakan penguatkuasaan jika ada aspek keselamatan bangunan yang tidak dipatuhi ditemui.

Keengganan untuk mengikuti modul teknik menyelamat dan berkawad, penggunaan peralatan kebakaran serta latihan teori dan amali bagi menghadapi kecemasan juga disebabkan sesetengah pengurusan institusi terbabit yang mengambil sikap 'berserah kepada Allah tanpa berusaha terlebih dulu'.

Itu antara reaksi diterima Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) yang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang proses 'memujuk' pihak berkenaan dalam menjayakan inisiatif itu.

Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata menerusi pelancaran Skuad Bomba Pondok zon utara, sebahagian pengurusan sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama enggan menyertai skuad itu kerana bimbang JBPM menyemak status kelulusan dan keadaan bangunan masing-masing.

Beliau berkata inisiatif itu perlu dilakukan sebagai satu usaha menghalang kejadian buruk dan tidak menyerahkan semuanya kepada takdir.

Skuad Bomba Pondok dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Mei lalu.

Mashitah berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 orang akan menyertai Skuad Bomba Pondok dalam tempoh dua tahun iaitu sekurang-kurangnya minimum 10 orang bagi setiap sekolah.

Beliau berkata, ada juga pihak yang memberi alasan pelajar tidak cukup masa untuk sertai skuad itu walaupun modul itu hanya memerlukan lapan jam dan dijalankan selama dua hari.

Sehubungan itu beliau menyarankan kerajaan mewajibkan institusi pendidikan agama sedia ada menyertai Skuad Bomba Pondok, manakala institusi baharu dibina diwajibkan untuk mematuhi semua syarat dan peraturan pihak berkuasa khususnya dalam aspek keselamatan bangunan.

Menyentuh isu dana bantuan kerajaan, Mashitah berkata, sehingga kini terdapat hampir 200 sekolah pondok berdaftar dengan kerajaan negeri sekali gus melayakkan mereka menerima dana bantuan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak 2015 bagi tujuan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata, menerusi kempen berterusan YPPM, sehingga kini 75 peratus sekolah pondok berdaftar dengan kerajaan.

1865 dibaca
Berita Harian X