Khamis, 14 September 2017 | 6:06pm

Tiga beradik tunjuk perangai pelik


TIGA beradik yang terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah; Haikal, Hafiz dan Harris.

KUALA LUMPUR: Tiga beradik yang terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masing-masing mempamerkan 'perangai pelik' ketika dibawa pulang bercuti di rumah ibu saudaranya.

Menurut sepupu mereka, Mas Aliza Ali Bapoo, 22, pada cuti Aidiladha lalu, tiga beradik itu, Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10, masing-masing mempamerkan perangai mencurigakan mereka sekeluarga.

"Muhd Syafiq sangat rapat dengan saya tetapi ketika cuti itu, dia tidak bercakap walau sepatah pun dengan saya.

"Berbeza pula dengan Muhd Hafiz, apabila dia menunjukkan sikap terlampau manja terutama dengan ibu saya, ..hinggakan tidur pun dia mahu peluk ibu.

"Muhd Harris pula semalam menimbulkan tanda tanya kepada kami ketika menghubungi ibu saya, ...dia kata dia mahu pergi," katanya ketika ditemui di luar bilik mayat di HKL di sini.

Mas Aliza berkata, ketiga-tiga beradik itu memang rapat dengan keluarganya, tambahan pula mereka dijaga ibunya selepas kematian bapa mereka pada 2005.


MAS Aliza Ali Bapoo.

"Semuanya mereka enam adik beradik. Ibu mereka tinggal di Damansara tetapi ketiga-tiga mereka diambil keluarga saya untuk dijaga, jadi sudah tentu mereka ini ibarat adik kandung saya.

"Saya amat terasa kerana bertanggungjawab mengambil dan menghantar pulang mereka bertiga dan itu sudah menjadi rutin termasuklah esok yang sepatutnya saya datang menjemput dari tahfiz," katanya.

Mas Aliza berkata, ketiga-tiga beradik itu dihantar ke tahfiz berkenaan pada awal tahun ini dan mulanya mereka tidak seronok kerana perlu tinggal di asrama.

"Cita-cita mereka untuk menjadi huffaz namun kami reda dengan ketentuanNya," katanya.

206756 dibaca
Berita Harian X