Khamis, 14 September 2017 | 9:19pm
JAMIL Khir memberi taklimat ketika menziarah ahli keluarga mangsa di IPFN Hospital Kuala Lumpur susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran, Kampung Keramat, Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pengesahan DNA mangsa selesai petang esok

KUALA LUMPUR: Proses pengesahan DNA semua 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Dato Keramat dengan waris masing-masing, dijangka hanya selesai pada jam 3.30 petang esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh wakil Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sebentar tadi.

Ketika ini, katanya, semua waris terdekat sudah menyerahkan DNA masing-masing bagi membantu proses pengesahan berkenaan.

"Hasil perbincangan bersama pihak hospital dan waris terdekat, semua bersetuju bahawa proses pengebumian mangsa kebakaran ini dikebumikan selepas proses pengesahan DNA bagi 23 jenazah selesai, paling awal dijangka jam 3.30 petang esok.

"Sekiranya keputusan diperoleh lebih awal, ia akan dimaklumkan kemudian kepada waris dan dihebahkan kepada umum.

"Bagi waris terdekat yang menunggu hari ini, kita menyediakan penginapan di Hotel Putra dan Hotel Grand Season.

"Ketika ini, semua waris disarankan untuk pulang dan berehat dahulu memandangkan keputusan pengecaman dijangka diperoleh esok," katanya ketika ditemui di hadapan IPFN di sini, malam ini.

Jamil Khir berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, kecuali bagi waris yang memohon untuk dikebumikan di kawasan masing-masing.

2077 dibaca
Berita Harian X