Khamis, 14 September 2017 | 11:41pm
ANGGOTA polis mengawal lalu lintas berikutan sebahagian orang ramai yang melihat kerosakan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SEBAHAGIAN orang ramai yang melihat kerosakan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat . - Foto Mohd Yusni Ariffin
ANTARA penduduk setempat dan juga dari kawasan luar berada di lokasi kebakaran. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SEBAHAGIAN orang ramai yang melihat kerosakan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat . - Foto Mohd Yusni Ariffin
SEBAHAGIAN daripada jemaah surau Madrasatul Ittifaqiyah membaca yassin dan tahlil untuk mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SEBAHAGIAN daripada jemaah surau Madrasatul Ittifaqiyah membaca yassin dan tahlil untuk mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pusat tahfiz terus dikunjungi

KUALA LUMPUR: Orang ramai terus membanjiri Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, di sini, untuk melihat sendiri lokasi kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Sehingga jam 10 malam tadi, hampir 100 orang terdiri daripada penduduk setempat dan juga dari kawasan luar berada di lokasi kebakaran.

Zaid Musa, 37, dari Bandar Permaisuri Cheras, berkata beliau terpanggil untuk melihat sendiri lokasi kebakaran selepas seharian mengikuti berita perkembangan kes berkenaan di laman media.

"Selepas solat Maghrib tadi, tiba-tiba saya rasa sebak bila teringat nasib malang anak-anak tahfiz yang maut dalam kebakaran itu.


Zaid Musa. - Foto Yusni Ariffin

"Saya ambil keputusan untuk datang pusat tahfiz ini untuk melihat sendiri lokasi kebakaran. Lagi pun lokasi ini terletak tidak jauh dari tempat saya bekerja di Jalan Tun Razak," katanya kepada BH, tadi.

Seorang pekerja kawasan pembinaan yang hanya ingin dikenali sebagai Amri, 33, pula berkata dia datang daripada Kota Kemuning, Shah Alam, untuk melihat sendiri premis terbabit.

"Saya singgah sebelum pulang ke rumah saya di Selayang, saya ingin sedekahkan Fatihah kepada mereka yang terkorban di sini.

"Apa yang dapat saya lihat, sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang pembinaan, saya pelik mengapa sebuah pusat tahfiz perlu dipasang jeriji besi.

"Mereka ini bukannya budak nakal, mereka budak tahfiz, saya rasa tidak perlu untuk memasang jeriji di tingkap," katanya.


Samsiah Rajmal. - Foto Yusni Ariffin

Sementara itu, Samsiah Rajmal, 64, dari Ukay Perdana di sini, meminta anak lelakinya membawa beliau ke lokasi untuk melihat sendiri tempat kejadian.

"Saya berasa amat sedih dengan kejadian kerana mangsa membabitkan kanak-kanak dan remaja belasan tahun.

"Ini adalah satu tragedi dan berharap keluarga mangsa dapat bantuan sewajarnya. Janganlah perkara sebegini berulang lagi pada masa depan," katanya.

Sementara itu, satu majlis tahlil diadakan oleh kariah Surau Ittifaqiyah yang terletak bersebelahan pusat tahfiz berkenaan disertai lebih 50 jemaah selepas solat Maghrib tadi.


SEBAHAGIAN daripada jemaah surau Madrasatul Ittifaqiyah membaca yassin dan tahlil untuk mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. - Foto Mohd Yusni Ariffin
6068 dibaca
Berita Harian X