Selasa, 26 September 2017 | 5:23pm
ABDUL Aziz Jusoh.- Foto Aswadi Alias

Wartawan Turki dibebaskan

KUALA LUMPUR: Wartawan dan penulis Turki, Mustafa Akyol, yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi, sudah dibebaskan tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdul Aziz Jusoh, berkata Mustafa dibebaskan pada jam 12 tengah hari selepas pihaknya selesai merakam percakapan dan menjalankan siasatan ke atasnya.

"Penahanan Mustafa dilakukan selepas dia gagal hadir memberi keterangan di ibu pejabat JAWI selepas kita hantar surat perintah hadir kepadanya, Ahad lalu.

"Ini bagi membolehkan kita jalankan siasatan berhubung aduan awam mengenai pembabitannya dalam majlis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk 'Does Freedom of Conscience Open The Floodgate to Apostacy', Ahad lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Susulan itu, katanya, JAWI menyampaikan surat perintah hadir kepada Mustafa bagi membantu siasatan JAWI, semalam, namun dia gagal hadir.

"Oleh kerana itu, kita buat permohonan kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran tangkap mengikut Seksyen 58(A) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) bagi melengkapkan siasatan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

"Mustafa ditahan di KLIA semalam dengan bantuan pihak Jabatan Imigresen sebelum diserahkan kepada kita.

"Dia kemudian dibebaskan selepas kita berpuas hati dengan keterangan yang diberikan," katanya.

Kata Abdul Aziz, soal siasat mendapati pihak penganjur tidak memaklumkan kepadanya keperluan untuk mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama bagi mana-mana orang yang ingin menyampaikan pengajaran Islam di negara ini.

"Oleh itu, kami menasihatkan penganjur supaya memastikan penceramah yang diundang dalam menyampaikan apa juga bentuk ceramah berkaitan agama Islam mempunyai tauliah mengajar seperti yang dikehendaki mengikut undang-undang di negara ini," katanya.

Terdahulu. penahanan Mustafa dilakukan oleh Jabatan Imigresen dan diserahkan kepada pegawai kawalan perjalanan (TCO) KLIA pada jam 9.30 malam tadi.

Berita Harian X