Jumaat, 29 September 2017 | 3:44pm
KEADAAN motosikal selepas terbabit dalam kemalangan di di persimpangan Jalan Monfort, Shah Alam. - Foto ihsan pembaca
SEORANG penuntut politeknik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan dan dua motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Monfort, Shah Alam. - Foto ihsan pembaca
SEORANG penunggang motosikal maut manakala pembonceng parah. - Foto ihsan pembaca

Maut akibat langgar isyarat lampu merah

SHAH ALAM: Akibat melanggar isyarat lampu merah, seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng parah selepas merempuh sebuah kenderaan di persimpangan Jalan Monfort di sini, semalam.

Dalam nahas jam 11.04 malam itu, mangsa Tuan Muhammad Shafis Tuan Rahim, 20, maut di tempat kejadian selepas parah pada kepala, manakala Bazil Suhaimi Buang, 20, parah pada kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang membelok masuk simpang kanan ketika lampu isyarat hijau.

"Rempuhan ini menyebabkan kedua-dua mangsa yang juga penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tercampak di atas jalan raya. 

"MPV terbabit turut terbabas dan melanggar sebuah kereta Honda CRV dan motosikal Honda Wave yang sedang menunggu lampu isyarat merah," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X