Jumaat, 29 September 2017 | 4:39pm

Penganggur didenda RM4,000 cederakan pekerja pendawaian

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kerana mencederakan seorang pekerja pendawaian dengan menggunakan parang, tahun lalu. 

Hukuman denda itu diputuskan Majistret Mahyudin Mohamad Som selepas K Sathiya, 26, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahyudin turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Dia membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap N Anbarasan, 35, di sebuah rumah di Jinjang Utara, di sini, pada jam 8 malam, 11 Disember 2016.

Tertuduh didakwa menggunakan parang mencederakan mangsa di bahagian perut, kepala dan tangan. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau, dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X