Sabtu, 30 September 2017 | 8:30pm
NUR Liya Asmira isteri kepada Allahyarham Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd Sukry, 26 keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menuntut jenazah suaminya. - Foto Muhaizan Yahya
NOOR Bazlin Mohammad, 28, isteri kepada Allahyarham Laskar Kekas 1, Nik Mohd Bahaiqy Nik Mat, 28, kelihatan sedih ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Polis klasifikasikan kes 2 anggota TLDM kematian mengejut

IPOH : Polis mengklasifikasikan kes kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini semalam, sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, hasil siasatan awal, polis menyifatkannya sebagai SDR sementara menunggu keputusan laporan bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). 

Kedua-dua mangsa, Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 dan Muhammad LailatuIman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia petang semalam di unit berkenaan.

Tian Kee berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian dua mangsa petang semalam.

"Bedah siasat masih dijalankan dan kita masih menunggu hasil bagi mengenal pasti punca kematian," katanya ketika dihubungi BH malam ini.

Tian Kee berkata, kedua-dua mangsa bukan rakan atau kenalan serta bertugas di unit berbeza di Pangkalan TLDM Lumut serta ditahan di Pusat Komunikasi Sungai Wangi, Sitiawan.

"Kedua-dua anggota menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dirujuk di pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa berusia 28 tahun dikenakan hukuman selama 45 hari bermula Rabu lalu atas kesalahan tidak hadir dalam sesuatu tugas perkhidmatan yang bertentangan dengan Seksyen 58 Angkatan Tentera 1972.

Katanya, polis juga menyiasat mangsa disyaki terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah dan masih menunggu laporan kimia.

"Kesalahan mangsa berusia 26 tahun pula (Muhammad LailatuIman) disebabkan tidak hadir bertugas tanpa kelulusan cuti.

"Mangsa ditempatkan di bilik tahanan berkenaan sementara sebelum cadangan dihantar ke Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya.

15169 dibaca
Berita Harian X