Ahad, 1 Oktober 2017 | 3:32pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid (kiri) menunjukkan gambar individu yang dikehendaki polis pada sidang media Jenayah Kekerasan di IPK Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria

50 lagi dicari polis Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu hari ini menyiarkan 50 lagi wajah individu yang dikehendaki selepas penyiaran 30 wajah suspek sebelum ini menjurus kepada dua daripada mereka tampil menyerah diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid, berkata 50 suspek itu termasuk tiga beradik serta seorang wanita, bagi membantu siasatan membabitkan kes rogol dan mendatangkan kecederaan yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu.

"Suspek ini berusia antara 30 hingga 60 tahun dengan 34 daripada mereka dari daerah Besut. Malah, tiga beradik dan suspek wanita itu juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes mendatangkan cedera parah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Wajah semua suspek ini akan dipaparkan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu bagi membolehkan orang ramai membantu polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas menyiarkan wajah 30 individu dikehendaki polis lima hari lalu, dua suspek datang menyerah diri di Balai Polis Kemaman serta Balai Polis Besut, manakala satu keluarga menghubungi Balai Polis Kuala Terengganu bagi memaklumkan lokasi anak mereka yang turut menjadi suspek dikehendaki polis untuk diambil tindakan.

Tindakan mengeluarkan wajah individu dikehendaki polis itu adalah susulan arahan dikeluarkan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang mahu semua kes tertangguh diselesaikan dengan segera, ketika lawatannya ke IPK Terengganu minggu lalu selepas dilantik memegang jawatan itu.

Selain itu, katanya, Ops Cantas Khas yang diadakan jabatannya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri sejak Khamis lalu (28 September), berjaya menahan 30 individu dikehendaki polis, dengan 10 daripadanya membabitkan kes jenayah, manakala 20 lagi membabitkan kes dadah menerusi 64 serbuan yang dilakukan.

Sementara itu, Fazlisyam berkata polis juga sedang mengesan pemilik akaun laman Facebook yang menghina, memaki dan mencerca tugas polis susulan tindakan mengeluarkan wajah suspek dikehendaki di media dan laman Facebook PDRM.

"Kita sudah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan sedang mengesan pemilik akaun Facebook terbabit kerana menghina polis dalam melaksanakan tugas membanteras jenayah. Kita percaya akan dapat menahan individu terbabit dalam masa terdekat.

"Pihak polis mahu mengingatkan orang ramai supaya berfikir dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan dan meninggalkan komen kerana apa yang dilakukan polis bukan tindakan yang tidak baik, sebaliknya berusaha untuk menyelesaikan kes tertangguh," katanya.

Berita Harian X