Jumaat, 6 Oktober 2017 | 4:28pm

Sindiket hasilkan dokumen palsu tumpas

AMPANG JAYA: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dan kad pengenalan diri didalangi tiga warga Indonesia termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah rumah, di Kampung Tasik Permai di sini, kelmarin.

Semua suspek berusia lewat 30-an itu ditahan selepas serbuan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Daerah Ampang, di kediaman itu, kira-kira jam 10.45 malam susulan risikan selama tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata dalam serbuan itu, pelbagai peralatan membuat dokumen palsu termasuk cop palsu pelbagai jabatan kerajaan ditemui.

Katanya, sebanyak 36 kad pengenalan, lima kad pemastautin tetap (PR) lapan kad sementara pekerja asing (e-kad), enam kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan tiga keping kad akuan diri pekerja asing (i-kad) palsu ditemui dalam rumah suspek.

"Lima kad pengenalan dan kad PR palsu yang dirampas sudah dilengkapi butiran pemiliknya, selebihnya masih kosong. Kita juga menemui kad kosong mempunyai cip yang dipercayai dihasilkan sendiri.

"Pelbagai dokumen palsu antaranya visa imigresen dan surat perakuan palsu dikeluarkan oleh jabatan kerajaan tertentu turut ditemui.

"Sindiket ini memfokuskan warga Indonesia di negara ini sebagai pelanggan. Mereka mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 untuk setiap dokumen palsu," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan cip pada kad pengenalan dan kad PR itu berfungsi dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sindiket dikesan aktif menjalankan aktiviti itu sejak enam bulan lalu dengan menghasilkan kualiti yang agak tinggi.

"Kita bekerjasama dengan JPN untuk siasatan lanjut berkaitan kes ini," katanya.

Suspek ditahan reman tiga hari sehingga esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

KETUA Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias (tengah) menunjukkan kad pengenalan palsu ketika sidang media penipuan dalam urusan mencetak dokumen kerajaan yang disyaki palsu di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X