Sabtu, 7 Oktober 2017 | 3:56pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun bercakap kepada pemberita selepas menerima pingat Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-64 Juhar di Istana Negeri. - Foto NSTP/Edmund Samunting

18 individu diambil keterangan kes rogol atlet

KOTA KINABALU: Polis merakam keterangan 18 individu dan merampas kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan kes rogol seorang atlet terjun di Pusat Akuatik Negara, Bukit Jalil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun, berkata polis turut mendapatkan kerjasama forensik, pakar kimia dan patologi bagi melengkapkan siasatan sebelum menyerahkan laporan kepada Pejabat Peguam Negara.

Setakat ini, katanya, hanya seorang lelaki disyaki suspek utama kes itu ditahan, namun kemungkinan akan ada lagi tangkapan, bergantung kepada hasil siasatan.

"Setakat ini, tiada mangsa lain tampil membuat laporan. Kita akan menjalankan siasatan terperinci dan siapkan kertas siasatan untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara secepat mungkin," katanya selepas menerima pingat Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-64 Juhar di Istana Negeri, di sini, hari ini.

Mohd Fuzi antara lima penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah itu, selain Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang.

Isnin lalu, seorang jurulatih pasukan renang kebangsaan ditahan di Sri Petaling, Kuala Lumpur selepas dipercayai merogol seorang atlet.

Suspek berusia 35 tahun, berasal dari China dan kini berstatus penduduk tetap (PR), ditahan polis di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) selepas ibu bapa mangsa membuat laporan pada Ahad lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

1361 dibaca
Berita Harian X